Khamis, 12 Mac 2009

WANITA DIGESA TUMPU USAHA BANGUNKAN DIRI







SANDAKAN: Kaum wanita di negeri ini digesa menumpukan kekuatan kepada usaha membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah menjadikan wanita sebagai rakyat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Haji Abdullah Hussin,berkata kaum wanita perlu lebih bersemangat dan bertekad untuk meningkatkan keupayaan, terutama ilmu pengetahuan, supaya dapat terus menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa berucap menutup Seminar Sehari Pemantapan Wanita Masa Kini anjuran Wanita (USIA) Pusat dengan kerjasama Wanita (USIA) Bahagian Sandakan di masjid daerah di sini, dimana hampIr 200 orang peserta menyertai seminar tersebut
Hadir sama di majlis tersebut Ketua (USIA) Bahagian Sandakan Syed Ismail Syed Omarali,,Naib Ketua Wanita (USIA) Datin Halijah Nasip dan Pengarah Dakwah (USIA) Abuhurairah Abdurahman.
Abdullah berkata kaum wanita di Malaysia telah mencapai banyak kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik dan akademik.
``Ini disebabkan oleh kebebasan dan galakan yang diberi oleh pihak kerajaan yang sentiasa mengiktiraf sumbangan wanita terhadap pembangunan negara. Malah kaum wanita telah dianggap sebagai rakan kongsi kaum lelaki, bersatu dan bekerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran.''
``Hasilnya ialah keamanan negara serta pembangunan yang pesat yang kita nikmati hari ini,'' kata Abdullah
Beliau turut menekankan keupayaan menghadapi cabaran alaf globalisasi dan perubahan teknologi yang pesat perlu diperkukuhkan di samping tidak mengabaikan peranan utama sebagai ibu kepada anak-anak.
``Tanggungjawab membina institusi keluarga yang kukuh dan dilengkapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif hendaklah diberi perhatian khusus oleh wanita sebagai penjana keluarga bahagia dan berjaya,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan