Isnin, 16 Mac 2009

LARANGAN PERKATAAN"ALLAH" UNTUK AGAMA LAIN PERLU DIHORMATI SEMUA PIHAK:ABIM

KOTA KINABALU: Larangan penggunaan perkataan `Allah’ oleh agama lain yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dihormati oleh semua pihak.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Sabah menegaskan Majlis Fatwa Kebangsaan itu adalah mewakili pandangan yang berasaskan ilmu yang mendalam, demi memelihara keharmonian beragama di negara ini.

“Abim Sabah berpendapat penggunaan kalimah Allah perlu didasarkan oleh ilmu yang benar dari aspek epistemologi, pandangan alam dan kajian ilmiah yang jujur,” kata Yang Dipertua Abim Sabah, Abdul Manap Mahmud di sini.

Beliau berkata sentimen yang ditimbulkan oleh segelintir individu sebenarnya akan menyebabkan kekeliruan lebih besar dalam masyarakat umum di negara ini khususnya kepada yang tidak memahami pengertian sebenar kalimah Allah.

Dalam pada itu Abim Sabah juga menggesa agar Kerajaan Negeri menguatkuasakan undang-undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dengan lebih tegas.

Kerajaan juga diminta memasukkan peruntukan dalam undang-undang negeri ini berhubung dengan hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama lain, kata Abdul Manap.

Beliau juga berkata dalam usaha memberi penerangan dan kefahaman menyeluruh dalam konteks masyarakat majmuk dan keharmonian, maka Abim mencadangkan agar Institut Kajian Islam ditubuhkan.

“Kita mencadangkan agar institut seumpama ini diwujudkan di Universiti Malaysia Sabah atau Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah. “Institut ini penting agar kajian sistematik tentang Islam dan kpercayaan beragama dapat diperkukuhkan,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan