Khamis, 12 Mac 2009

USIA BINA LOJI PEMPROSESESAN MINYAK GAHARU


SERAH SUMBANGAN….Kelihatan Sakaran diiringi oleh Abdullah menyerahkan mok cek kepada wakil NST Mohd.Azrone Sarabatin di majlis tersebut
KOTA KINABALU, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) akan membina sebuah loji pemprosesan minyak gaharu di Telupid ditapak seluas 5.2 hektar yang dianggarkan bernilai RM1 juta menerusi peruntukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam tempoh terdekat ini.
Setiausahanya, Datuk Abdullah Hussin, berkata loji itu akan menjadi galakan dan pemangkin kepada usaha pertubuhan itu untuk mengembangkan penanaman dan teknologi tumbuhan itu di negeri ini.
Katanya, tapak berkenaan sudah dikenalpasti iaitu sejauh enam kilometer (km) dari pekan Telupid serta berhampiran jalan utama yang menghubungkan Pantai Timur Sabah dengan bandar raya ini.
"Loji berkenaan akan dilengkapi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta rehat dan rekreasi (R&R) yang sekali gus menjadikannya tumpuan penyelidik, pelancong dan orang awam,' katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza sebanyak RM18,547.20 yang disempurnakan Yang Dipertua Usia, Tun Sakaran Dandai di Ibu Pejabat Usia di Sembulan, dekat sini semalam.
Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan 10 bahagiannya Usia di seluruh negeri dengan bahagian Beaufort menjadi penyumbang terbesar iaitu RM4,856, Tawau (RM4,610), Semporna, (RM3,491), Kudat (RM1,225), Beluran (RM1,005), Kinabatangan (RM1,000), Kuala Penyu (RM1,000) Ibu Pejabat Usia ((RM551), Papar (RM485) dan Penampang (RM324).
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri yang juga Ketua Belia Usia Pusat, Datuk Sairin Karno dan Naib Yang Di Pertua Usia, Datuk Matussin Awang Damit.
Sumbangan diterima wakil NSTP yang juga wartawan Berita Harian Sabah, Mohd Azrone Sarabatin.
Ini adalah sumbangan kedua Usia untuk tabung kemanusiaan itu dengan bulan lalu pertubuhan itu menyumbang RM10,000.
Sementara itu, Sakaran berkata , Usia sudah menanam 30,000 pokok gaharu sejak Oktober lalu membaitkan 100 hektar tanah dengan spesies terbesar yang ditanam adalah `malaccensis' iaitu spesies terbaik dalam keluarga tumbuhan dengan nama saitifik `Aquilaria malaccensis' itu.
Katanya, Usia mensasarkan seorang ahli sekurang-kurangnya menanam sebatang pokok yang dianggarkan boleh boleh mengeluarkan tiga liter minyak gaharu dalam tempoh matang tujuh tahun.
Beliau berkata, seliter minyak gaharu boleh mencecah RM70,000.
"Usia mensasarkan penanam sejuta batang gaharu mulai Oktober lalu hingga penghujung 2020," katanya.
Dalam pada itu, Sairin berkata Belia Usia Pusat mensasarkan penubuhan Sukarelawan Usia untuk membantu mangsa keganasan dan bencana alam di seluruh dunia.
"Sebelum ini Usia pernah menghantar sukarelawan ke Acheh untuk membantu mangsa tsunami meliputi 10 anggota diketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Dastuk Nasir sakaran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan