Ahad, 15 Mac 2009

JANGAN AMBIL RINGAN ASPEK PERPADUAN SAKARAN





SANDAKAN: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah iaitu menjadi umat yang berkualiti .

Beliau berkata usaha untuk menyatupadukan masyarakat adalah usaha yang berterusan sejajar dan bertepatan dengan tuntuan serta cabaran pada alaf ke-21 ini.

“Oleh yang demikian, segala dasar dan polisi yang dirangka ke arah menjadikan negara ini dan seluruh rakyat sebagai komuniti negara maju pada masa hadapan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan ini diambil ringan semua pihak.” Katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah di Padang Perbandaran Sandakan pada pagi sabtu lepas.

Hadir sama Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan ABM Fajer ,Setiausaha Agung (USIA) Datuk Haji Abdullah Hussin serta hampir 8000 orang masyarakat Islam setempat .

Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Sandakan bermula dengan perarakan sejauh 1 kilomter yang diketuai oleh Sakaran yang berakhir di Padang Perbandaran Sandakan.

Sakaran menambah apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T.

Menurut Sakaran yang juga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, kegagalan umat Islam mentaati ajaran Al Quran menyebabkan mereka mudah berpecah yang menjadi penyumbang kepada kelemahan mereka.

Sehubungan dengan itu beliau mengajak Umat Islam agar mendewasakan sikap serta tingkah laku keagamaan melalui peningkatan agama secara meluas dan mendalam.

“ Jika kita (umat Islam) berpanggang kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan terus bersatu padu, ianya merupakan asas kekuatan bagi Umat Islam untuk terus berjaya menghadapi cabaran yang mendatang” tambah Sakaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan