Khamis, 12 Mac 2009

USIA SAMBUT BAIK DANA KHAS UNTUK BADAN DAKWAH



MESRA …Ahmad Zahid bersalaman dengan Abdullah sejurus tiba ke majlis tersebut

RANAU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menyambut baik cadangan kerajaan persekutuan yang memberikan dana khas kepada Sabah untuk memantapkan lagi kursus dakwah dan penghayatan Islam khususnya yang membabitkan golongan saudara baru.

Setiausaha Agungnya Datuk Haji Abdullah Hussin berkata, cadangan tersebut amat dialu-alukan dan dihargai yang boleh membantu pertubuhan termasuk badan badan dakwah di negeri ini mengerakkan aktiviti keagamaan disamping mengembangkan syiar Islam di negeri ini

“Pertubuhan ini termasuk badan badan dakwah yang lain sememangnya komited dalam melaksanakan pelbagai program dakwah namun tidak dinafikan faktor kewangan menjadi kakangan bagi perlaksanaan program yang lebih menyeluruh” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perasmian Pusat Latihan Dakwah di Kundasang Ranau dekat sini baru baru ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Shah Abdullah yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menimbangkan pemberian dana khas kepada pertubuhan dan badan dakwah di negeri ini untuk melaksanakan program program dakwah.

Sambil melahirkan keyakinan pemberian dana khas tersebut akan menjadi pemangkin kepada gerakan dakwah di negeri ini berjalan dengan lebih efektif Abdullah berkata, melalui peruntukan tersebut bukan sahaja aktiviti dakwah dapat dipertingkatkan namun ianya mampu mencapai sasaran bagi melahirkan modal insan yang lebih cemerlang seiring dengan cabaran masa kini.

“ Kita yakin dengan kesediaan kerajaan Pusat menyediakan dana khas ini mampu mempertingkatkan usaha badan badan dakwah untuk melaksanakan pelbagai program khususnya bagi melahirkan masyarakat Islam yang berkualiti dari segi pemikiran dan akhlaknya” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan