Khamis, 24 Jun 2010

UMAT ISLAM DIMINTA UTAMAKAN PERPADUAN





TAHNIAH….Abdullah diiringi oleh Arshad dan Amin ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta di majlis tersebut


TUARAN: Setiausaha Agung Pertubuhahn Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Haji Abdullah Hussin mengingatkan umat Islam agar sentiasa mengukuhkan persaudaraan, membina perpaduan dan meningkatkan pencapaian agar terus menjadi umat yang terbilang.
Katanya, tanpa menghayati ajaran Islam yang sebenar umat Islam tidak akan mampu menjadi umat contoh bahkan akan terus diperlekehkan dan ketinggalan dalam segala aspek kemajuan
"Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan tamadun Islam yang dahulunya hebat dan gagah akhirnya tersungkur lantaran ada antara penganutnya yang tidak mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.
"Malahan yang lebih mendukacitakan telah berlaku perpecahan, pergeseran dan persengketaan di kalangan sesama umat Islam," katanya ketika berucap menutup Khemah Dakwah anjuran pertubuhan tersebut di masjid kampong Peninbawan dekat sini baru baru ini
Turut hadir Penolong Setiausaha Agung (USIA) Datuk Arshad Edris, Ketua (USIA) Bahagian Tuaran Haji Amin Ibrahim dan Pengarah Dakwah (USIA) Abuhurairah Abdurahman.
Sehubungan itu, Abdullah berharap umat Islam sentiasa bersedia dengan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman
"Sikap sambil lewa membuang masa dan takut bersaing perlu dihapus dan diganti dengan nilai-nilai positif yang boleh membentuk jati diri mukmin sejati," katanya
Menurut beliau kitab Al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangun ummah yang mapan dan berjaya.
Tambah beliau , umat Islam perlu menjadi yang terbaik, mementingkan pencapaian dan mampu membawa perubahan ke arah kebaikan dan bukan hanya mengikut telunjuk dan budaya orang lain serta berpuas hati dengan apa yang ada.
"Sepatutnya umat Islam sentiasa berusaha ke arah mencapai kejayaan dan mencipta kemajuan” katanya
Mengulas program tersebut Abdullah berkata, ianya merupakan antara program yang dilakukan oleh pertubuhan tersebut bagi menyebarkan lagi ilmu agama dan gerakan dakwah yang boleh dimanafaatkan oleh masyarakat Islam setempat melalui bimbingan dan juga ceramah yang dikendalikan oleh para pegawai dakwah dari ibu pejabat (USIA).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan