Khamis, 3 Jun 2010

Tidak Salah Usia Libatkan Diri Dalam Aktiviti Ekonomi







Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman bersama Yang Dipertua (USIA) Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai dan Naib Yang Dipertua (USIA) yang juga ADUN Lahad Datu Datu Datuk Nasrun Datu Mansur di pentas utama semasa majlis perasmian tersebut

LAHAD DATU:Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pertubuhan dakwah seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) tidak salah untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.

Beliau berkata dengan melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini, ia akan membantu pertubuhan berkenaan mengumpul modal dan kewangan untuk membiayai aktiviti dakwah tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

"Jadi saya percaya (penglibatan USIA dalam aktiviti ekonomi) tidak menjejaskan aktiviti dakwah USIA malah boleh membantu usaha-usaha mengembangkan dakwah USIA di seluruh Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Plaza USIA setinggi lima tingkat di kawasan strategik bandar Lahad Datu.

Kos pembinaannya ialah kira-kira RM6 juta dan siap dibina pada tahun 2007.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua USIA, Tun Sakaran Dandai.

Musa berkata perolehan daripada aktiviti ekonomi USIA itu juga akan membolehkannya menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan seterusnya membantu meringankan beban kerajaan.

Mengulas kerja-kerja dakwah USIA yang turut dilakukan agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), katanya itu perkembangan positif kerana mereka boleh membantu antara satu sama lain.

Katanya tidak timbul soal pertindihan peranan selagi wujud penyelarasan yang baik di kalangan organisasi dakwah malah akan wujud suasana saling melengkapi antara organisasi dakwah berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa meminta USIA supaya terus meningkatkan usaha dakwah, kerja-kerja kebajikan dan aktiviti ekonominya khususnya bagi umat Islam yang tinggal di kawasan luar bandar.

Beliau berkata perkara itu penting bagi membantu kerajaan memupuk nilai-nilai murni dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai kaum seterusnya menonjolkan kemuliaan nilai serta ajaran Islam kepada masyarakat lain.

Musa juga meminta umat Islam supaya terus mengeratkan perpaduan dan berusaha dengan gigih untuk maju serta mengambil ikhtibar daripada kesulitan yang dialami banyak negara Islam akibat kesan daripada perpecahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan