Khamis, 24 Jun 2010

AKHLAK KARIMAH


Oleh: Suzlina Hj. Tahir
Lulusan Diploma Pengajian Islam ( Dakwah dan Pengurusan )
Al-Kuliyyah Bahanj Islamiyyah Sultan Ahmad Shah, Kuantan.
Kini bertugas sebagai Pegawai Dakwah di Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA ) Kota Kinabalu bermula sejak bulan Mei 2010

PENGENALAN

Maksudnya: Bahawa dalam tubuh itu ada sepotong daging. Apabila ia baik, nescaya baiklah sebahagian tubuh yang lain.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Akhlak adalah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan sesuatu perkara tanpa pertimbangan dan berfikir terlebih dahulu untuk membuat sesuatu perkara. Ia juga merupakan himpunan prinsip dan nilai yang mengatur setiap perlakuan manusia. Akhlak seseorang itu akan terpesong sekiranya seseorang itu tidak mempunyai akhlak yang baik.

Secara ringkasnya, akhlak merupakan asas dalam Islam yang boleh didefinisikan sebagai tingkah laku yang yang mulia yang telah diolah oleh Allah S.W.T. Akhlak ditetapkan oleh Allah seperti yang tercatat dalam Al-Quran dan As-Sunnah untuk manusia sebagai makhluk ciptaanNya yang paling sempurna. Tidak untuk malaikat dan haiwan. Ini menunjukkan Allah itu Maha Adil dan Bijaksana kerana Dia mengetahui sesungguhnya tidak mungkin malaikat dan haiwan mempunyai akhlak. Akan tetapi manusia diberi kebebasan untuk memilih dan daya ikhtiar samada mahu mematuhi akhlak ataupun menolaknya kerana akhlak itu telah ditetapkan oleh Allah SWT. Akhlak lebih menekankan hati dan keikhlasan. Sesungguhnya keikhlasan melambangkan kebebasan memilih dan kerelaan hati. Jika tidak ikhlas, ia bukan dinamakan akhlak kerana wujud paksaan dan dibuat-buat. Hati nuranilah yang membisikkan dan meransang seseorang untuk berbudi bahasa dan berakhlak mulia dan bukannya ransangan dari luar. Apabila akhlak mulia dilaksanakan, seseorang itu berasa puas dan bahagia. Tetapi jika diransang oleh faktor luaran, ia tidak merasakan kepuasan dan berasa kecewa apabila apa-apa yang diharapkan daripada akhlak yang disumbangkan tidak tercapai

KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM
Islam telah dibahagikan kepada empat cabang utama iaitu akidah, ibadah, muamalah dan akhlak. Namun demikian, perbincangan akhlak di bahagian ini bukanlah bermakna bahawa akhlak adalah perkara terakhir yang di pentingkan oleh Islam atau ia tidak akan mencapai kedudukan cabang-cabang lain. Hakikat yang jelas, bagi orang yang meneliti Islam, melalui ayat-ayat Quran dan Sunnah-sunnah Nabi Muhammad S.A.W. serta menghayati nas-nas tersebut akan mengakui Islam telah memberikan perhatian yang tinggi terhadap Rasulullah S.A.W sehingga Al-Quran memuji baginda melalui firmanNya dalam surah Al-Qalam 68: 4 yang bermaksud:

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang mulia.

Keistimewaan akhlak Islam adalah kerana akhlak ini berlaku di dalam semua urusan dan sruktur ajaran Islam sehinggakan dalam akidah, ibadah, muamalah, siasah, politik, ekonomi serta etika peperangan dan keamanan.

HUBUNGAN ANTARA AKHLAK DAN IBADAH

Terdapat banyak nas dari Al-Quran dan Hadith yang dengan jelasnya menegaskan bahawa nilai sebenar kepada ibadah itu ialah nilai akhlaknya. Jelasnya akidah keimanan yang benar dalam hati pasti akan menggerakkan kepada pengabdian ( ibadah) seterusnya sudah pasti pengabdian atau ibadah yang dilaksanakan dengan keikhlasan akan menghasilkan keindahan akhlak dalam perlakuan dan kehidupan seharian. Sesungguhnya ibadah-ibadah Islam yang besar mempunyai matlamat-matlamat akhlak yang jelas. Ia amat jelas ditegakkan pada setiap ibadah harian yang utama dalam kehidupan muslim mempunyai tugas yang utama dalam pembentukan motivasi diri serta pendidikan agama dalaman seperti firman Allah dalam surah Al-Ankabut 29: 45:

Maksudnya: Bacalah serta ikutilah ( wahai Muhammad ) akan apa yang diwahyukan kepadamu dan Al-Quran dan dirikanlah solat ( dengan tekun ), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar ( faedah dan kesannya ) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Solat yang merupakan sokongan akhlak kepada seseorang muslim untuk menghadapi kesukaran hidup. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2: 153.

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang bersabar.

Zakat pula bukan sekadar cukai harta yang diambil dari orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin. Ia merupakan alat untuk menyuci dan membersihkan akhlak sepertimana ia menjadi alat pendapatan dan pengembangan harta. Firman Allah dalam surah At-Taubah 9: 103.

Maksudnya: Ambillah ( sebahagian ) dari harta mereka menjadi sedekah ( zakat ) supaya dengannya engkau membersihkan mereka ( dari dosa ) dan mensucikan mereka ( dari akhlak yang buruk ) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan Allah itu amat mendengar lagi Maha Mengetahui.

Puasa pula menyediakan jiwa untuk ketaqwaan yang merupakan kemuncak akhlak Islam kerana puasa didalam Islam adalah latihan jiwa dalam menahan syahwatnya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2: 183.

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu.

Haji merupakan latihan terhadap muslim untuk pembersihan, ketulusan kepada Allah malah mengangkat martabat lebih dari kelazatan dan kemewahan dunia serta menghindari segala pertikaian. Oleh sebab itu Islam memfardhukan teraan dan zuhud terhadap dunia. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah 2: 197.

Maksudnya: ( Masa untuk mengerjakan ibadat ) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang mewajibkan dirinya ( dengan niat megerjakan ) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.

Hal yang demikian, jika ibadah-ibadah itu kehilangan pengertian dan tidak mencapai matlamatnya maka hilanglah makna ibadah itu sendiri serta fungsi utamanya. Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang solatnya tidak dapat menghalangnya dari kekejian, maka tiada solat baginya

AKHLAH BURUK MEROSAKKAN AMALAN BAIK


Sebuah lagi hadith Rasulullah S.A.W bermaksud: “ Keburukkan akhlak itu merosakkan amalan ( yang baik ) sebagaimana cuka merosakkan madu.” ( Hadith riwayat Ibnu Hibban dari Abu Hurairah ). Maksudnya disini seseorang yang rajin bersembahyang dan melakukan ibadat-ibadat seperti berpuasa, bersedekah dan sebagainya, pahala kesemua ibadat itu akan rosak jika ia seorang yang buruk akhlaknya. Buruk misalnya suka mengumpat atau menghina orang, dengki khianat , sombong , membuat pelbagai maksiat, kasar dan pemarah, tidak jujur dan sebagainya.

Ada sesetengah orang yang mengaku Islam mengabaikan ibadat-ibadat yang di tuntut. Ketika di hadapan ramai, mereka menampakkan keprihatinan dalam melaksanakannya. Namun dalam masa yang sama, mereka melakukan perkara yang haram yang ditolak oleh akhlak yang mulia dan iman yang benar. Lantaran itu wujudlah dua wajah yang tidak dapat diterima, ahli ibadah yang tidak berakhlak dan orang yang berakhlak tetapi buruk ibadah. Dia berkata: Agama terletak di hati. Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W mengancam mereka yang mencampur aduk perkara tersebut. Baginda memberi amaran kepada umatnya supaya berhati-hati terhadap golongan ini. Mengenai perkara ini, sebuah hadis daripada Rasullullah S.A.W menyebut :

“ Seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W : Wahai Rasulullah, sesungguhnya seorang wanita terkenal dengan banyak bersembahyang ( sunat ), berpuasa dan bersedekah, namun kata-katanya menyakiti jirannya.” Sabda Nabi S.A.W: Dia dimasukkan kedalam neraka. ‘kemudian beliau bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, seorang perempuan terkenal dengan kurang bersembahyang ( sunat ) dan berpuasa. Dia hanya bersedekah sepotong kecil keju namun dia tidak menyakiti jirannya.”jawab Nabi S.A.W : Dia akan ditempatkan didalam syurga” Riwayat Ahmad.

Dalam menjelaskan hubungan akhlak dengan iman sebenar juga hubungannya dengan ibadah yang sahih, Rasulullah S.A.W tidak berpada dengan hanya menjawab soalan yang dikemukakan. Baginda turut menjadikan akhlak sebagai asas kebaikan di dunia dan kejayaan di akhirat. Bahkan isu akhlak lebih penting daripada itu. Tidak boleh tidak, ia perlu kepada tunjuk ajar dan nasihat yang berterusan demi memantapkannya dalam hati dan pemikiran. Sesungguhnya iman, kejayaan dan akhlak merupakan faktor-faktor yang saling berkaitan dan memperkukuhkan. Tiada siapa yang mampu merungkainya.

KESIMPULAN

Kesimpulannya akhlak mempunyai kedudukan yang amat penting di samping mendapat perhatian yang amat besar dalam Islam. Hanya orang Islam yang benar-benar patuh kepada Allah S.W.T yang sentiasa mengelakkan diri daripada akhlak yang tercela. Di samping itu juga, salah satu sabab agama Islam diturunkan oleh Allah S.W.T menerusi Nabi Muhammad S.A.W ialah manusia pada zaman jahiliyyah tidak mempunyai budi pekerti atau akhlak. Bukan sekadar tidak berakhlak, bahkan mereka telah sesat dan tidak berkeperimanusiaan. Mereka sanggup menanam kanak-kanak perempuan mereka hidup-hidup di samping hidup bermaharajalela dan berbunuh-bunuhan antara sesama sendiri.

Nabi Muhammad S.A.W diutus oleh Allah S.W.T untuk memperbaiki akhlak manusia yang telah binasa itu melalui agama Islam yang lengkap dengan segala peraturan dan hukum-hukumnya. Sesungguhnyaa Rasulullah S.A.W telah berjaya memimpin satu revolusi budaya, daripada budaya sesat kepada budaya bertamadun bagi faedah manusia seluruh dunia dari zamannya hinggalah ke hari ini. Memelihara akhlak itu amat penting kepada setiap diri manusia agar dapat membentuk peribadi akhlak yang mulia. Tanpa adanya akhlak dalam diri seseorang, maka rosaklah akhlaknya dan segala amalan baik yang dilakukannya binasa dan tidak berfaedah.

Selain itu juga, dapat kita lihat pada hari ini dimana isu pembuangan bayi semakin menular dan ini amat memalukan masyarakat Islam di sekeliling. Di mana akhlak mereka ini? Dan di mana letaknya peribadi mereka sehinggakan mereka sanggup membuang bayi dalam tong sampah. Bukan itu sahaja, mereka juga sanggup menanam bayi mereka hidup-hidup tanpa ada sifat keperimanusiaan.
Mudah-mudahan dapat kita jadikan ikhtibar dengan apa yang berlaku sekeliling kita pada hari ini dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Dengan adanya kekuatan akhlak yang kuat dan masih berpegang pada Tuhan Rabbulalamin, InsyaAllah akidah dan iman kita akan terpelihara dan mudah-mudahan akhlak kita tidak terpesong jauh.Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan