Isnin, 25 Mei 2009

PUSAT PEMBANGUNAN ISLAM WILAYAH UTARA




Abdullah diiringi oleh Abdul Kahar ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta seminar di majlis tersebut
KOTA MARUDU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) bakal membina sebuah Pusat Pembangunan Islam Wilayah Utara di sini yang akan menjadi pusat sehenti kegiatan dakwah daerah ini, Kota Belud, Pitas, Matunggong, Pulau Banggi dan Kudat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata pertubuhan itu sudah memiliki tapak seluas 1.2 hektar yang diwakafkan oleh seorang ahli Usia, Ali Akhbar di Kampung Mara Sim-Sim, di sini.
Katanya, tapak itu sesuai untuk mendirikan pusat berkenaan yang sekali gus memudahkan pendakwah mendampingi masyarakat Islam terutama saudara baru untuk membimbing mereka dalam bidang fardu ain dan kifayah.
“Kita akan memperincikan cadangan itu pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan dan Pelaburan Usia dan kemudian dikemukakan kepada ahli majlis tertinggi Usia untuk tindakan lanjut dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika ditemui selepas menutup Seminar Kefahaman Islam anjuran Usia bahagian Kota Marudu di Masjid Jamek Kampung Mara Sim-Sim, di sini kelmarin.
Hadir sama, Ketua Usia bahagian Kota Marudu, Kahar Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Tetap pertubuhan itu, Asmara Matkasar dan Setiausaha Kerjanya, Misnan Warman.
Baru-baru ini, sebuah akhbar nasional melaporkan mengenai kira-kira 1,000 saudara baru yang mendiami 13 kampung di kawasan lembah dan lereng bukit di sini meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar pendakwah untuk membimbing mereka dalam aspek fardu ain dan kifayah.
Pada masa sama, mereka meminta Pusat Zakat Sabah dan Tabung Baitulmal Sabah membantu membiayai perniagaan kecil-kecilan terutama dalam bidang pertanian dan kraftangan untuk meningkatkan ekonomi kerana majoriti golongan berkenaan adalah Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT).
Kawasan terbabit meliputi Kampung Lombiding, Kipopogong, Gana, Nasapu, Garung, Gouton, Minsusurud, Makatol Darat, Minitampak, Samparita Laut, Samparita Darat, Bombong I dan Bombong II.
Ini disusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, jabatan dan agensi agama Islam berdepan kesukaran perhubungan meliputi infrastruktur dan logistik untuk menghantar pendakwah bagi membimbing saudara baru dalam aspek fardu ain dan kifayah di kawasan terpencil di daerah itu.
Dalam pada itu, Abdullah berkata Usia menghargai pengorbanan Ali yang menyumbangkan tapak untuk pembinaan Pusat Pembangunan Islam Wilayah Utara yang bakal dilengkapi pangkalan data masyarakat Islam di sini terutama saudara baru yang sentiasa dikemaskini untuk memudahkan gerakan dakwah dan pembangunan ekonomi mereka.
"Pengorbanan Ali tiada galang gantinya dan kita harap pusat ini menjadi pemangkin gerakan dakwah dan peningkatan ekonomi khususnya di wilayah utara," katanya.
Abdullah juga berharap dirinya sendiri dan umat Islam harus mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya. Pada masa sama difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pemikiran meliputi kepentingan dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan