Khamis, 22 Julai 2010

Ulama diseru tangani kekeliruan





SEBAGAI INGATAN…Kelihatan Sakaran diringi oleh Ampong,Nasrun,Matussin dan Abdullah menyampaikan cendera kenangan kepada salah seorang ahli rombongan ulama pada majlis tersebut


KOTA KINABALU: Golongan ulama dan ilmuan Islam diseru menyahut cabaran untuk menangani kekeliruan masyarakat dalam hal berkaitan sensitiviti agama

Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai berkata, ini kerana kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam adalah berpunca daripada salah faham terhadap ajaran Islam sebenar.

Menurutnya, salah faham itu adalah akibat daripada kecenderungan memahami Islam secara cetek tanpa berpandukan pemikiran rasional dan rohani yang luhur hingga menjadikan Islam sebagai agama yang disalahertikan.

"Dalam menghadapi kemelut ini, peranan ulama dan ilmuan Islam ialah menyuluh umat dengan pancaran ilmu dan sinar rohani yang akan menghasilkan kefahaman sebenar tentang Islam.

"Justeru, para ulama dan ilmuan Islam di Malaysia dan di nusantara ini,mempunyai amanah serta tanggungjawab besar untuk meneruskan tradisi dakwah dan tarbiah yang berlandaskan kekuatan roh dan akal seperti mana yang telah dilakukan oleh pemikir agung Islam terdahulu," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dimajlis perjumpaan bersama rombongan Ulama dari Semanjung Malaysia, Sarawak dan Indonesia di ibu pejabat (USIA) Sembulan pagi kemarin.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua (USIA) Tan Sri Ampong Puyun,Naib-Naib Yang Dipertua Datuk Haji Matussin Awang Damit,Datuk Datu Nasrun Datu Mansur,Setiausaha Agung (USIA)Datuk Haji Abdullah Hussin dan Ketua Penerangan (USIA) Haji Salsidu Ibrahim

Sementara itu Setiausaha Agung (USIA) Datuk Haji Abdullah Hussin ketika berucap di majlis yang sama berkata, usaha yang dilakukan oleh pertubuhan tersebut bersama Yayasan Sabdi bagi melaksanakan program ziarah ke beberapa daerah di negeri ini bertujuan membantu USIA meningkatkan dakwah Islamiah disamping mengeratkan hubungan talisilaturrahim sesama ummah.
Katanya, peranan ulama sebenarnya amat besar dan perlu digembleng untuk dimanfaatkan oleh umat Islam di negeri ini terutamanya dalam perkongsian ilmu agama
Katanya, Ulama adalah golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu teras Islam serta memahami Islam seperti yang difahami generasi para sahabat dan mereka mampu menyelesaikan masalah berkaitan perkara agama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan