Isnin, 19 Julai 2010

KEMBALIKAN KEGEMILANGAN ISLAM DENGAN ILMU - TUN SAKARAN


SEMPORNA: Umat Islam boleh mencapai era kegemilangan seperti yang dinikmati di masa lampau sekiranya mereka kembali mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran. Jika dikaji dan dihayati segala-galanya terdapat didalam kitab suci itu yang mampu mendorong dan memandu umat Islam ke arah kejayaan, kecemerlangan dan kehebatan hidup di dunia dan akhirat.

Yang Dipertua USIA Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran bin Dandai berkata demikian di majlis silaturrahim sempena Isra Mikraj di Kampung Jawa Tawau. Majlis itu dianjurkan oleh USIA dan Yayasan Sabdi. Hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Yang Dipertua USIA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ampong Haji Puyon, Setiausaha Agung USIA, Datuk Haji Abdullah Hussin, serta Ulamak-ulamak dari Malaysia yang diketuai oleh Ustaz Mohd Zuki Shabie As Sujak dan Ulamak Indonesia, Kiyai Haji Mohd Nor Abd Fatah dari Kalimantan Barat.

Tun Sakaran berkata USIA akan sentiasa menganjurkan majlis-majlis ilmu dengan tujuan menggalakkan umat Islam mempelajari dan menghayati ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh. Beliau juga menyeru umat Islam agar jangan merasa jemu untuk menuntut ilmu kerana tidak ada had masa bagi seseorang muslim untuk menambah ilmu pengetahuan.

“Kerajaan kita juga sentiasa menggalakkan rakyat menambah ilmu. Ini terbukti dengan wujudnya banyak institusi pelajaran”katanya.

Ustaz Mohd Zuki dalam ceramahnya berkata umat Islam di Malaysia amat bertuah kerana mereka dapat menuntut ilmu dalam keadaan aman dan selamat. Nikmat aman damai seperti ini harus dimanfaatkan untuk mendalami ilmu pengetahun seperti yang disyariatkan Islam. Ustaz Mohd Nor Abd Fatah pula berkata meskipun berlainan Negara, umat Islam di Malaysia dan Indonesia punya matlamat yang sama iaitu menuntut keredhaan Allah S.W.T. Katanya tidak ada batas bagi umat Islam untuk menuntut ilmu kerana tujuan utamanya adalah bagi mempastikan umat Islam mampu menjadi umat terbaik.

Setiausaha Agung USIA Datuk Haji Abdullah Hussin berkata selain Tawau rombongan Tun Sakaran akan mengadakan ceramah-ceramah dan ramah mesra dengan umat Islam di Semporna, Kunak, Sandakan dan Ranau.

Tujuan majlis itu diadakan adalah untuk membolehkan umat Islam menambah ilmu pengetahuan disamping memupuk silaturrahim antara pemimpin dan umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan