Selasa, 17 Ogos 2010

Ketepikan fahaman politik



Ariffin Arif (tengah) sambil disaksikan Zulkhairi Ismail (dua kiri) menyampaikan zakat fitrah RM17,200 kepada Samat Jumat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak sempena majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Binsulok, Membakut, semalam.

KIMANIS 16 Ogos - Umat Islam digesa mengetepikan perbezaan fahaman politik dan menjadikan Ramadan bulan terbaik mengukuhkan hubungan sesama ummah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Ariffin Arif berkata, selain itu, umat Islam perlu memanfaatkan bulan mulia ini untuk meningkatkan ibadah dan amalan kebajikan bagi mendapatkan keredaan Allah.

"Inilah keistimewaan bulan Ramadan. Ia bukan sekadar bulan untuk kita mengerjakan ibadah puasa tetapi mempunyai seribu satu nikmat yang perlu direbut oleh umat Islam secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Binsulok, Membakut dekat sini, semalam.

Majlis anjuran Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) turut dihadiri Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Ismail; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Gulam Hassan; Imam Masjid Kampung Binsulok, Ibrahim Guan dan Pengerusi masjid, Samat Jumat.

Pada majlis itu, Ariffin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (USIA) turut menyampaikan zakat fitrah kepada fakir miskin dan mualaf daerah itu serta menyaksikan penyerahan al-Quran dan buku agama sumbangan YSZPS kepada pengurusan masjid berkenaan.

Ariffin berkata, nikmat bulan Ramadan bukan hanya dapat dimanfaatkan oleh individu tetapi mampu membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya.

Katanya, disiplin dan pematuhan kepada segala rukun sepanjang bulan Ramadan perlu terus dihayati dan diamalkan sepanjang hidup.

Sementara itu, Zulkhairi berkata, majlis berbuka puasa tersebut merupakan sebahagian program Ziarah Ramadan yang dianjurkan Yayasan Sabah bertujuan mengeratkan ukhuwah ummah selain menunaikan tanggungjawab sosial organisasi tersebut.

Katanya, majlis yang sama akan diadakan di masjid-masjid lain di seluruh negeri bagi mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan