Rabu, 2 Disember 2009

UMAT ISLAM DIGESA UTAMAKAN ILMU DAN AMAL




TAHNIAH….Kelihatan Sakaran yang diiringi oleh Aidi,Abdullah Abdul Hakim dan Aburaira menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta di majlis tersebut


KOTA KINABALU: Umat Islam digesa supaya sentiasakan cintakan ilmu, memperbanyak amal, menjaga akhlak dan menguasai bidang ekonomi untuk mendepani cabaran dalam era global, kata Yang Di Pertua USIA, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai.

Beliau berkata, umat Islam khususnya ahli-ahli USIA perlu menguasai ilmu dalam pelbagai bidang bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam bidang kemajuan.

Mereka juga hendaklah memperbanyak amal kebaikan, menjaga akhlak mereka supaya boleh menjadi contoh masyarakat.

Tun Sakaran juga meminta supaya umat Islam di negeri ini memperbaiki pencapaian mereka dalam bidang ekonomi supaya mereka tidak dipandang rendah oleh masyarakat lain.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Intensif Dakwah di Ibu Pejabat USIA yang dihadiri seramai 13 peserta yang terpilih dari seluruh Sabah .

"Kursus Intensif Dakwah ini merupakan kegiatan USIA untuk melahirkan sukarelawan-sukarelawan dakwah yang boleh membantu USIA menyebarluaskan ajaran Islam," katanya.

"Walaupun bilangan peserta adalah kecil, namun keberkesanan kursus yang diajarkan oleh pegawai dakwah dan pensyarah UiTM, Prof.Dr.Suwaid Tapa telah menjadikan para peserta lebih bersedia untuk berdepan dengan suasana yang lebih mencabar.

Katanya, peserta sudah didedahkan dengan ilmu-ilmu yang berguna dalam membantu USIA menerangkan ajaran Islam dengan seluruh umat Islam khususnya saudara-saudara kita.

Menurutnya, USIA memang berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan dakwah Islamiah.

Pelbagai teknik dan pendekatan yang bersesuaian dengan dengan era moden ini sentiasa digunapakai oleh USIA, katanya sambil menekankan bahawa golongan remaja juga tidak pernah dilupakan. Untuk mereka, USIA juga akan menyediakan kursus dan program-program yang berkaitan.

Beliau berharap semoga segala usaha yang diambil oleh USIA akan mendapat sambutan, sokongan dan dorongan umat Islam.

Katanya, pada tahun 2010, USIA merancang lebih banyak program dakwah di seluruh negeri dimana pihaknya akan melawat setiap bahagian akan dilawati manakala program akan diadakan bersama ahli-ahli USIA.

Beliau berkata, para pemimpin USIA akan turun padang mendengar masalah dan memberi penjelasan kepada umat Islam di negeri ini.

Menurutnya, dakwah perlu dipergiatkan demi manfaat umat Islam apatahlagi dakwah merupakan bidang utama yang menjadi tumpuan USIA.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Yang Di Pertua USIA, Datuk Haji Aidi Moktar, Haji Amin Ibrahim,Setiausaha Agung USIA, Datuk Haji Abdullah Hussin, Ketua Belia USIA, Abdul Hakim Haji Ghulam Hassan, AMT USIA, Hajah Nanih Abad dan Edul Haji Mulud, Pengarah Dakwah USIA, Ustaz Abuhuraira Abdurrahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan