Rabu, 16 Disember 2009

PENGHIJRAHAN BERWAWASAN DAN DINAMIK LETAKKAN KEJAYAAN UMAT ISLAM TUN SAKARAN DANDAI



KOTA KINABALU : Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai (gambar ) mahu umat Islam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kecemerlangan ummah berasaskan penguasaan ilmu dan cara hidup Islam yang berwawasan dan dinamik.

Katanya, kejayaan dan kecemerlangan sesebuah negara bergantung kepada kualiti rakyatnya yang berilmu dan berkemahiran.

"Umat Islam harus melengkapkan pengetahuan mantap berhubung dengan ilmu agama Islam, di samping ilmu sains, matematik, teknologi dan sebagainya.,tanpa ilmu manusia tiada nilai di sisi makhluk, mahupun di sisi penciptanya," katanya dalam perutusannya sempana menyembut Sambutan Maal Hijrah 1431 H 2009 M yang dikeluarkan Bahagian Media Ibu Pejabat (USIA) di sini kemarin

Menurut Sakaran lagi umat Islam perlu berani menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar untuk terus bersaing dengan masyarakat lain di dunia.

Oleh itu umat Islam perlu berusaha keras meningkatkan penguasaan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi supaya tidak ketinggalan,

"Dalam zaman yang serba mencabar ini kita perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan dan bagi menghadapinya umat Islam perlu mengisi jiwa serta diri dengan pelbagai ilmu akhirat dan dunia supaya tidak ketinggalan zaman," katanya .

Sementara itu Timbalannya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (gambar ) dalam perutusan yang sama berkata, konsep hijrah hari ini menuntut kepada perubahan demi kemajuan individu, masyarakat dan negara berlandaskan pemikiran yang kreatif dan inovatif

“ Oleh itu jika seseorang khususnya masyarakat Islam inginkan kejayaan di dunia dan akhirat penghijarah yang sebenarnya memerlukan keazaman, kemahiran, kecekalan dalam usaha ke arah kemajuan” katanya

Menurut beliau bagi memenuhi tuntutan ini, Umat Islam khususnya golongan muda perlu memahami dan menghayati sejarah Maal Hijrah serta meneruskan agenda perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam konteks hari ini.

Menurutnya Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masyarakat Islam di Negara ini perlu merebut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam kestabilan politik dan ekonomi untuk terus berusaha mencapai kejayaan

Bagaimanapun Lajim menekankan bahawa keadaan masyarakat khususnya umat Islam tidak akan berubah jika hanya bergantung kepada usaha kerajaan dan penyaluran peruntukan yang besar semata-mata.

"Sebaliknya kejayaan dan kegemilangan umat Islam memerlukan penghijrahan sikap yang lebih positif dan proaktif, sepertimana yang dituntut oleh Islam, terutama dalam menjayakan pelbagai program dan dasar pembangunan kerajaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan