Isnin, 22 Mac 2010

USIA PASTIKAN LEBIH RAMAI AHLI DIBERI LATIHAN




CAPAI KESEPAKATAN ...Kelihatan Sakaran sedang memerhatikan majlis pertukaran dokumen antara Abdullah dan Taidin di majlis tersebut


KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan memastikan lebih ramai ahlinya di seluruh negeri diberikan latihan dan bimbingan dalam usaha memantapkan pembangunan modal insan, kata Yang Di Pertua USIA, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Sakaran Dandai.

Beliau berkata, sebagai sebuah organisasi berorientasikan dakwah Islam, USIA amat menitikberatkan pembangunan modal insan selaras dengan usaha kerajaan yang memberi keutamaan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Antara USIA dan UGMC di Tingkat 7, Wisma Tun Fuad Stephens, di ibu negeri kelmarin.

UGMC merupakan sebuah syarikat juru perunding yang telah berkecimpung dalam bidang latihan dan khidmat runding cara sejak 16 tahun lepas dan pernah mengendalikan bengkel dan kursus kepada 200 syarikat korporat, agensi dan jabatan kerajaan sama ada di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Negara Asean dan Timur Tengah

Perjanjian Persefahaman itu antara kedua-dua pihak merupakan detik bersejarah kerana buat pertama kalinya sebuah NGO Islam menjalin kerjasama mantap dalam usaha memantapkan pembangunan modal insan di negeri ini.

"Dalam dunia sekarang, segala-galanya bergantung kepada ilmu dan kemahiran. Ilmu dan kemahiran hanya boleh diperolehi melalui latihan dan bimbingan," katanya.

Katanya, bidang latihan dan khidmat bimbingan boleh boleh meningkatkan kecekapan ahli-ahli, menambahkan kualiti diri, berdaya saing dan cemerlang.

Beliau yakin kerjasama pintar yang diterokai antara dua pihak itu akan membantu melahirkan modal insan berkualiti di negra ini.

Perjanjian MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung USIA, Datuk Haji Abdullah Hussin dan Setiausaha Kerja, Misnan Warman bagi pihak USIA manakala bagi pihak UGMC ditandatangani oleh Ketua Juruperunding UGMC, Taidin Suhaimin dan Managing Partner UGMC, Ahmad Abbas.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Yang Di Pertua USIA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ampong Puyon, Naib Yang Di Pertua USIA, Datuk Haji Matussin Awang Damit, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi USIA yang juga Wakil Rakyat Bangi Mijul Unani serta ahli-ahli majlis tertinggi (USIA) yang lain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan