Rabu, 5 Mei 2010

USIA alu-alukan kerjasama NGO Islam




SAKSIKAN…Kelihatan Sakaran dan Aziz (tengah) bersama ahli majlis tertinggi (USIA) dan pegawai pegawai kanan (YADIM) turut menyaksikan majlis pengislaman yang dibimbing ole Ustaz Abdu Hurairah di majlis tersebut

KOTA KINABALU 3 Mei - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada badan-badan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi memperkasakan gerakan dakwah di negeri ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata, kerjasama itu juga membolehkan program-program dakwah yang diadakan secara berasingan sebelum ini dikongsi bersama untuk memberikan manfaat kepada umat Islam di negeri ini.
"Kita memang sentiasa mengalu-alukan kerjasama ini kerana kita sedar USIA tidak mampu untuk melakukannya bersendirian. Lagi ramai terlibat maka lagi kuat dan mantap pergerakan dakwah kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengislaman 17 saudara baru anjuran bersama USIA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua USIA, Tun Sakaraan Dandai; Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mohd.Tahir; Ketua Pegawai Ekseutif Yadim, Dr. Ahmad Fazli Ahmad Tajudin dan Pengarah Yadim Sabah, Datu Laliman Datu Hussin.
Majlis pengislaman dibimbing oleh Pengarah Dakwah USIA, Ustaz Abdul Hurairah Abdurahman.
Menurut Abdullah, kerjasama USIA dan Yadim merupakan satu contoh dakwah diperkasakan menerusi perkongsian bijak.
''USIA berharap kerjasama ini akan diterus dan ditingkatkan lagi demi menegakkan syiar Islam," ujarnya.
Mengenai saudara baru, Abdullah menjelaskan USIA akan terus memberikan bimbingan menerusi penganjuran kelas dan kursus-kursus kepada kumpulan itu.
Beliau berharap, saudara-saudara baru berkenaan tidak berasa malu dan terasing untuk mendalami ajaran Islam yang indah itu.
''Kita akan memperkemaskan langkah susulan terhadap saudara baru bagi memastikan pengetahuan mereka terhadap ajaran Islam dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan