Jumaat, 9 Oktober 2009

USIA kesan naskhah tafsiran al-Quran kosong



ABDULLAH Hussin (kanan) menunjukkan halaman naskah al-Quran tidak bercetak yang masih lagi dijual di Sabah.


KOTA KINABALU - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) hari ini mengesan beberapa naskah tafsiran al-Quran terbitan Darulfikir yang mempunyai helaian tidak bercetak di surah tertentu.
Setiausaha agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata, surah-surah yang kosong itu adalah At-Taubah serta Yunus dan naskah tersebut masih lagi dijual di pasaran tempatan.
"Surah At-taubah pada ayat 127 tidak selesai. Ayat 128 dan 129 dalam surah yang sama tidak dicetak. Begitu juga dengan Surah Yunus ayat satu hingga 94 tidak dicetak.
"Kitab suci ini dicetak oleh Prospecta Printers Sdn. Bhd. dari Selangor. Penerbitan ini difahamkan mendapat kelulusan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Abdullah berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil perhatian mengenai perkara itu bagi mengelakkan umat Islam terkeliru.
Katanya, walaupun kes ini terpencil dan berpunca daripada masalah teknikal tetapi pihak berkenaan perlu lebih berhati-hati sebelum memasarkannya.
Menurutnya, kes tersebut adalah kali kedua dikesan USIA yang mana pertama kali didedahkan pada tahun lalu.
Sebagai langkah susulan katanya, USIA akan mengadakan pertemuan dengan Mufti Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan