Jumaat, 12 Februari 2010

Pemimpin USIA jangan berpeluk tubuh sahaja






Yang Dipertua (USIA) Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai bersalaman dengan Ahli Majlis Tertinggi (USIA) yang juga Pembantu Menteri Kewangan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan sejurus tiba di majlis tersebut

KOTA KINABALU 12 Feb. - Individu yang dilantik menerajui Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) diminta supaya tidak berpeluk tubuh dengan jawatan mereka, sebaliknya perlu melaksanakan tugas dengan lebih efektif.

Yang Dipertuanya, Tun Sakaran Dandai berkata, kepimpinan yang tinggi merupakan kayu pengukur utama terhadap kekuatan sesebuah pertubuhan dalam mengekalkan perpaduan di kalangan ahlinya.

''Pemilihan mereka menganggotai jawatankuasa tertinggi USIA adalah satu penghargaan dan tanggungjawab besar bagi membantu meneruskan perjuangan USIA demi manfaat umat Islam di Sabah.

''Dalam keadaan dunia yang bergerak pantas ini, kita tidak boleh terus berdiam diri dan berasa selesa dengan apa yang telah kita lakukan selama ini," katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra USIA di Dewan Mesyuarat, Bangunan USIA di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali; Pembantu Menteri Kewangan I negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad dan Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin.

Sakaran berkata, pemimpin yang berkualiti dengan sendirinya akan memberi kekuatan bukan sahaja kepada organisasi yang dipimpin tetapi juga meningkatkan kepercayaan di kalangan ahlinya.

Menurutnya, apa yang lebih penting ialah pemimpin USIA perlu melaksanakan tugas berlandaskan perintah Allah dan Rasulullah.

''Pencapaian cemerlang dalam sesebuah organisasi memerlukan perancangan dan buah fikiran berkesan dan sistematik oleh pemimpin.

''Langkah seperti itu juga dapat mendorong ahli-ahli USIA meningkatkan tekad dan keazaman ke arah memantapkan pengurusan organisasi," ujarnya.

Katanya, selain faktor kepimpinan yang dinamis, ahli USIA juga perlu memantapkan diri dengan nilai dan etika murni termasuk menghayati dan memahami matlamat serta konsep perjuangan USIA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan