Jumaat, 6 November 2009

USIA Tumpu Aktiviti Komersial Untuk Biayai Program Dakwah






Timbalan Yang Dipertua (USIA) Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ketika menyampaikan amanat pada sesi perjumpaan tersebut

SANDAKAN, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menumpukan perhatiannya kepada aktiviti komersial yang mampu memberi sumber kewangan bagi membiayai aktiviti dakwahnya di negeri itu.

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Lajim Ukin berkata peranan USIA untuk menyebarkan dakwah Islam di Sabah menjadi keutamaan kepada pertubuhan itu tetapi penglibatan dalam aktiviti komersial diperlukan untuk mendapatkan dana bagi membiayai pelbagai kegiatan dakwah tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Katanya antara aktiviti komersial itu cadangan untuk membangunkan tanah milik pertubuhan itu di beberapa tempat di sini, Kundasang dan Kota Kinabalu.

"Ativiti dakwah yang dilaksanakan oleh USIA semakin berkembang dan ini memerlukan kita melebarkan aktiviti dalam pelaburan berpotensi," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat mengenai isu-isu semasa di sini Jumaat.

Lajim berkata USIA bercadang juga untuk mendirikan sebuah kolej Islam di Kota Kinabalu bagi memberi pendidikan kepada masyarakat Islam di Sabah.

Lajim, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata USIA juga merancang untuk melibatkan diri dalam perladangan dan merancang untuk menanam kayu jati di Beluran di tanah seluas 4,000 hektar milik pertubuhan itu.

Terdahulu dalam ucapannya beliau meminta 16,000 ahli USIA supaya menjadikan pertubuhan itu sebagai landasan untuk membantu kerajaan dan memfokuskan usaha untuk mengembangkan kegiatan dakwah di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan