Rabu, 6 Oktober 2010

Ahli USIA jangan hilang fokus - Sapawi



Sapawi (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut

SIPITANG : Pelaksanaan pelbagai aktiviti ekonomi bagi memperkasakan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) tidak harus menjejaskan fokus USIA dalam mengembangkan syiar Islam.

Ahli Majlis Tertinggi USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, semua ahli USIA perlu memberi keutamaan kepada usaha mengembangkan syiar Islam yang menjadi matlamat penubuhan pertubuhan itu.

"Tumpuan yang lebih kepada ekonomi telah membuatkan usaha mengembangkan syiar Islam bergerak perlahan.

"Jadi, sebaik-baiknya usaha itu hendaklah diseimbangkan kerana syiar Islam perlu terus dikembangkan dari semasa ke semasa," katanya pada Mesyuarat Agung USIA Sipitang di Dewan Perpustakaan Mini Sipitang di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua USIA Sipitang, Ariff Ismail, pemimpin bahagian itu dan ahli USIA Sipitang.

Menurut Sapawi, ahli USIA harus melihat kembali asas penubuhan pertubuhan itu yang bertujuan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.

Katanya, setiap ahli USIA juga harus memupuk sifat ikhlas di dalam diri masing-masing dalam memperjuangkan syiar Islam.

Dalam pada itu, Sapawi yang juga Ketua USIA Sipitang berkata, pelbagai cabaran terhadap dakwah Islam pada masa ini memerlukan komitmen semua masyarakat Islam.

Katanya, antara cabaran utama yang harus segera diatasi ialah gejala sosial yang semakin membimbangkan di kalangan generasi muda Islam.

"Meskipun gejala sosial bersifat global, namun umat Islam tidak boleh memandangnya sebelah mata.

"Perkara ini perlu ditangani dan tidak dibiarkan, jadi sikap yang terlalu memfokuskan kepada ekonomi dan menjejaskan usaha mengembangkan syiar Islam harus dielakkan," katanya.